BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, May 30, 2008

Demam Euro2008 di ntv7


Oleh Rozdan Mazalan

SETIAP tahun pelbagai acara disusun oleh stesen televisyen, ntv7 sempena meraikan kiraan detik pelancaran sukan paling gemilang di benua Eropah, Euro2008 di Austria dan Switzerland.

Selain menyiarkan 17 perlawanan secara langsung, ntv7 turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik berkaitan bola sepak termasuklah di pusat membeli-belah dan tempat tumpuan penggemar bola sepak.

Semestinya, penganjuran sebegini akan terus menyemarakkan semangat penggemar bola sepak.


Kejohanan Karnival Futsal ntv7 akan diadakan selama sebulan yang akan dimulai di lokasi pertama di pusat membeli belah One Utama di Damansara, esok, jam 11 pagi.


Menyusul selepas itu, program ini akan diadakan di Bangsar Village (8 Jun), The Curve (15 Jun) dan Pavilion (22 Jun). Penggemar bola sepak pastinya tidak mahu ketinggalan pelbagai aktiviti menyeronokkan ini.

Jika anda percaya anda boleh melakukan serangan bola seperti Cristiano Ronaldo atau mungkin lebih baik, Radar Speed Challenge adalah permainan terbaik bagi menguji tahap kuasa serangan anda.

Selain itu, jika anda berhasrat untuk menduga diri anda, sama ada anda mampu membuat sasaran seperti David Beckham, cubalah bermain permainan Target Football Challenge yang sentiasa menghasilkan keputusan yang tepat. Segala acara ini akan berlangsung di setiap lokasi karnival yang ditujui

Segala-galanya mengenai bola sepak dari pagi hingga malam dimulakan dengan program bicarawara, The Breakfast Show (TBS). Dapatkan keputusan Euro terkini daripada pasukan TBS di awal setiap Isnin hingga Jumaat jam 8 pagi kerana mereka akan memberikan perkembangan terkini bola sepak Euro2008.

Bagi isteri yang ditinggalkan suami yang gila bola, boleh menyaksikan program bicarawara Venus, di mana permainan yang dimonopoli oleh kaum lelaki ini akan dilihat dari perspektif seorang wanita pada setiap Jumaat 11.00 pagi mulai 30 Mei.

Fesyen dan pemain bola sepak yang tampan, serta lelaki yang tidak gemar pada sukan ini tetapi ada pula wanita yang menyukai sukan berkenaan menjadi koleksi topik menarik serta hadiah hebat menunggu penonton pada setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 11.00 pagi.

Semua program yang dihoskan oleh Soo Kui Jien (sebagai Kapten), di samping tetamu jemputan dan peminat, The Arena menjadi grandstand yang pastinya dihargai oleh peminat bola sepak malah pada mereka yang baru mula meminati sukan itu.

Alamilah segala kemeriahan EURO 2008 yang dibawa khas Saluran Ceria Anda pada Jun ini. Untuk informasi lebih lanjut, layarilah www.ntv7.com.my.


Diet Aizat makin menjadi

Oleh Zaidi Mohamad


WAJAH Aizat sekarang.

Mampu kurangkan berat badan dalam tempoh empat bulan, sentuh nasi seminggu sekali

PERJUANGAN seni jejaka comel bernama Muhammad Aizat Amdan, 19, atau Aizat tidak pernah terhenti, apatah lagi persekitaran keluarganya cukup dekat di hati dalam bidang muzik. Tersingkir pada konsert mingguan minggu ketujuh menerusi Akademi Fantasia musim kelima, tidak pernah mematahkan legasi seninya yang baru saja bermula.

Berkemungkinan besar, penghujung Mei ini, Aizat bakal menerjah persada seni dengan album sulungnya di bawah pembikinan syarikat milik keluarganya sendiri iaitu Kasi Gegar Entertainment dengan kerjasama Universal Music dan Maestro Records.


Selepas lagu Sahabat, lagu Hanya Kau Yang Mampu dipertaruhkan sebagai single kedua sehingga meledakkan nama jejaka yang pernah dikenali dengan tagline Kasi Gegar itu.


Hip berkesempatan ke kediamannya di Ampang pada hujung minggu lalu untuk meninjau aktiviti masa senggang jejaka comel ini. Memerhati susuk tubuh barunya, pasti akan membuatkan peminat di luar sana seakan terpana dengan imej barunya yang kelihatan kurus sehingga menampakkan potongan dagunya yang runcing.

Jelas Aizat, berat badannya sudah turun daripada 112 kilogram (kg) ke 88 kg. Berkat usahanya yang konsisten, alhamdulillah hasilnya cukup mengujakan. Tambahnya lagi, Jumaat umpama hari ‘pembalasan’ untuk dirinya membedal apa saja makanan yang diingini.

“Sudah empat bulan berlalu, saya nekad menguruskan badan dengan tiga langkah. Pertama, kurangkan makan. Kedua, bersenam dan cara ketiga ialah menggabungkan langkah pertama dan kedua secara konsisten. Saya akan ke gimnasium dua kali dalam seminggu ataupun berenang di rumah mengikut kesesuaian waktu. Saya juga akan berjoging selama 35 minit di mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai.

“Saya hanya menyentuh nasi seminggu sekali. Hari Jumaat saya jadikan sebagai hari untuk saya menghayati nikmat erti sebuah makanan. Selalunya, hari itu saya akan ke rumah nenek, Norly Abdul Karim. Hari itu saya akan belasah dan bedal saja makanan yang saya rasa mahu.

“Selain itu, saya juga mengutamakan makanan berorganik, berserat dan berorientasikan sayur-sayuran seperti salad. Makanan berorganik ini berkhasiat tinggi kerana ia tidak diproses dan tidak mempunyai campuran kandungan bahan kimia,” katanya dengan penuh teruja.

Sewaktu fotografi berlangsung hanya ibunya (Fina Norhizah Baharuzaman), bapa tiri (Syed Abdul Rahim Syed Jaafar), adik (Muhammad Alif Amdan), kakak (Nur Ili Zuhair Amdan), nenek (Norly) dan nenek saudaranya (Aminah Firdaus) yang berada di rumah. Dua abangnya iaitu Muhammad Amar Amdan dan Muhammad Anas Amdan masing-masing bekerja dan belajar di Australia. Abang sulungnya, Muhammad Amir Amdan juga terikat dengan jadual kerja.

Kata Aizat, muzik dan keluarganya bagaikan irama dan lagu, yang tidak dapat dipisahkan. Keluarganya berkebolehan bermain instrumen muzik seperti gitar dan dram dan ada di antaranya yang boleh menyanyi seperti Aizat.

“Yang menjadi pencetus segala-galanya semestinya umi dan ayah kandung saya, Amdan Mat Din. Ayah pun pernah ada kugirannya sendiri sebelum ini. Umi saya yang memperturunkan khazanah bakat dan ilmunya bermain gitar kepada abang sulung saya. Seterusnya ia berentetan dan menjadi tradisi turun-temurun keluarga kami.

“Muzik bukan alasan untuk kami adik-beradik leka melupakan tanggungjawab. Ia diseimbangkan dengan penuh tertib, sehingga ia menjadi penanda aras buat diri saya sendiri yang menjadikannya sebagai laluan pacuan kerjaya seni,” ungkap Aizat yang masih berhubung baik dengan bapa kandungnya yang tinggal bersama abangnya Amir di kediaman berasingan.

Thursday, May 29, 2008

Selamat Hari Gawai

Selamat hari guru kepada semua org yang menyambut nya.................. tapi aku x sambut aku tunggu raya!!!.........................

Gayu Guru Gerai Nyamai

Pengusaha bas minta naik tambang

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) memohon untuk menaikkan kadar tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti di seluruh negara sebanyak 100 peratus bagi menampung peningkatan kos operasi serta alat ganti.

Presiden PMBOA, Datuk Ashfar Ali, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berikutan peningkatan mendadak harga diesel dan alat ganti.

"Kali terakhir kerajaan mengumumkan kenaikan tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti adalah pada 1 Mei 2005 sedangkan harga diesel sudah dinaikkan tiga kali, manakala kos alat ganti pula semakin bertambah," katanya pada sidang media, di sini, semalam.


Mengikut cadangan PMBOA, tambang bas ekspres berhawa dingin di Semenanjung perlu dinaikkan kepada 15 sen untuk jarak satu kilometer (km) berbanding 6.5 sen setiap km kadar sekarang. Bagi perkhidmatan bas ekspres tanpa penghawa dingin pula, PMBOA memohon kenaikan tambang sebanyak 10 sen setiap kilometer berbanding 5.5 sen yang dikenakan ketika ini.


"Bagi bas berhenti-henti berhawa dingin, kami meminta kenaikan tambang kepada RM1.50 untuk setiap km dan 20 sen bagi setiap km berikutnya berbanding kadar sekarang iaitu masing-masing 72 sen dan 7.2 sen.

"Bagi bas berhenti-henti tanpa pendingin hawa, kami memohon tambangnya dinaikkan kepada RM1 untuk setiap dua km pertama dan 15 sen bagi setiap km berikutnya berbanding kadar sekarang iaitu masing-masing 48 sen dan tujuh sen.

"Bagi laluan berbukit pula, kami memohon supaya dibenarkan caj tambahan sebanyak 20 peratus lagi daripada kenaikan itu," katanya.

Ashfar berkata, bagi pengusaha di Sarawak, PMBOA mahu kadar tambang bagi bas ekspres berhawa dingin dinaikkan kepada 22 sen bagi km pertama berbanding 11 sen ketika ini di Sabah, ia dinaikkan daripada 10 sen kepada 20 sen untuk jarak yang sama.

"Bagi bas ekspres tanpa penghawa dingin di Sabah, kadar kenaikan tambang yang dicadangkan adalah 15 sen bagi kilometer pertama berbanding 8.5 sen ketika ini. Bagaimanapun tiada jumlah ditetapkan untuk Sarawak," katanya.

Bagi bas berhenti-henti tanpa penghawa dingin di Sarawak, pihaknya mencadangkan tambang lima km pertama dinaikkan kepada RM1.20 dan 15 sen bagi setiap km berikutnya manakala bagi yang berhawa dingin, masing-masing diminta dinaikkan kepada RM1.50 dan 20 sen untuk jarak sama.

Di Sabah pula, PMBOA memohon tambang bas berhenti-henti berhawa dingin dinaikkan kepada RM1.50 bagi dua km dan 20 sen bagi setiap km berikutnya manakala yang tidak berhawa dingin, kadar dicadangkan adalah masing-masing RM1 dan 15 sen untuk jarak laluan sama.

Selain itu, PMBOA memohon supaya kerajaan menaikkan 30 peratus kadar tambang bas mini daripada masing-masing 80 sen kepada RM1.10 untuk yang berhawa dingin dan daripada 70 sen kepada RM1 bagi yang tidak berhawa dingin.

PMBOA turut meminta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengehadkan pemberian permit bas bagi mengelak ia menjejaskan lagi pendapatan pengusaha bas sedia ada.

Ashfar berkata, pengusaha mendapati kenaikan tambang yang diumumkan pada 2005 bukan saja gagal membantu mereka meningkatkan keuntungan, malah tidak cukup untuk menampung kos operasi masing-masing.

"Akibatnya, banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar dan satu daripada langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah itu ialah jika kerajaan membenarkan kami menaikkan kadar tambang perkhidmatan.

"Kami bukannya mahu menyusahkan pengguna atau mengambil kesempatan daripada kenaikan harga minyak tetapi jika keadaan terus begini, kita bimbang tidak mampu memberikan perkhidmatan dan akhirnya ia akan membebankan orang ramai," katanya.

Idris lepas jawatan Umno, BN Terengganu

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang disandang sejak 2004, berkuat kuasa hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih itu mengumumkan keputusan berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen, petang semalam.

"Saya beritahu PM (Perdana Menteri), saya setuju letak jawatan Pengerusi Perhubungan dan beliau terima. Saya akan menghantar surat peletakan jawatan esok (hari ini).


"Keputusan ini dibuat bagi menghormati keputusan MT (Majlis Tertinggi Umno) berhubung isu pelantikan Menteri Besar dan menghormati kemahuan beliau. Langkah ini dapat menyelaraskan politik dan pentadbiran negeri," katanya menerusi SMS kepada media, semalam.


Idris dilantik Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu menggantikan Abdullah selepas BN menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum 2004 dengan memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, BN Terengganu berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga apabila memenangi 16 kerusi DUN, tetapi Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar, sebaliknya digantikan Datuk Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal.

Turut meletak jawatan berkuat kuasa semalam ialah Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Setiausaha BN Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Rosol ketika dihubungi berkata, Idris mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri kira-kira 20 minit bagi menyatakan hasrat melepaskan jawatan untuk membolehkan Umno dan BN dipimpin Ahmad.

Rosol yang juga Adun Ajil berkata, beliau dan Idris sedia berundur demi kepentingan parti kerana pembangunan negeri adalah lebih penting.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui di pejabatnya semalam, enggan mengulas lanjut perkara itu kerana belum diberitahu secara rasmi oleh Pejabat Umno Pusat mengenai peletakan jawatan Idris.

"Saya hanya mendapat maklumat awal. Tak apalah... saya tak mahu komen lagi setakat ini. Tidak matang jika saya beri sebarang komen tanpa ada hitam putih mengenainya. Belum keluar di akhbar lagi pun," katanya.

Dua harga jual petrol, diesel

Sistem berperingkat pastikan rakyat nikmati subsidi, warga asing beli ikut pasaran

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin melaksanakan sistem harga berperingkat bagi petrol dan diesel untuk kenderaan yang didaftarkan di negara ini serta negara asing, dalam usaha memastikan subsidi yang diberikan hanya dinikmati rakyat tempatan.

Melalui sistem harga berperingkat itu, semua pemilik kenderaan yang didaftarkan di luar negara perlu membeli petrol atau diesel mengikut harga pasaran dunia jika memasuki negara ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata pelaksanaan langkah itu dapat membantu memastikan hanya rakyat tempatan menikmati subsidi minyak yang diberikan kerajaan, manakala kenderaan asing dikehendaki membayar harga penuh (mengikut pasaran semasa).


"Mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini (esok) akan membincangkan cadangan supaya kenderaan asing yang mengisi minyak dan petrol dikenakan bayaran mengikut harga pasaran," katanya selepas menerima borang keahlian Umno bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor, di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

Isnin lalu, kerajaan memutuskan supaya semua stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer (km) dari sempadan negara tidak lagi dibenarkan menjual petrol atau diesel kepada kenderaan yang didaftarkan di luar negara, mulai esok.

Larangan itu membabitkan semua stesen minyak dalam lingkungan jarak 30 hingga 50km dari sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, Kedah, utara Perak dan Kelantan serta Malaysia-Singapura iaitu di beberapa daerah di Johor termasuk Kulai dan Johor Bahru.

Arahan bertulis mengenai larangan itu, yang dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dikeluarkan kepada kira-kira 200 hingga 300 pemilik stesen minyak di kawasan berkenaan, dalam masa terdekat.

Abdullah berkata, jika cadangan untuk melaksanakan sistem harga berperingkat itu dipersetujui mesyuarat Kabinet, maka kenderaan asing yang mengisi minyak di negara ini perlu membayar mengikut harga penuh.

"Tunggulah Jumaat (esok) ini (untuk pengumuman)... jika penguatkuasaannya diumumkan, semua pihak perlu ikut peraturan baru itu," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mungkin mempertimbangkan supaya harga jualan petrol dan diesel untuk rakyat tempatan ditentukan berdasarkan kemampuan seseorang atau mengikut kapasiti enjin kenderaan mereka.

Difahamkan, cadangan berkenaan ialah antara perkara yang dibincang oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Inflasi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam beberapa mesyuaratnya sebelum ini.

Abdullah berkata, semua cadangan itu adalah sebahagian usaha untuk membendung pengaliran keluar subsidi minyak yang diberikan kerajaan bagi meringankan beban rakyat negara ini serta mencegah penyeludupan.

"Minyak kita murah, jadi biarlah ia digunakan oleh rakyat kita dan bukan digunakan oleh orang tertentu untuk buat keuntungan. Minyak kita pun bukan banyak sangat, ada pula orang nak bawa keluar untuk buat untung... ini tak boleh.

"Minyak itu pula dibeli oleh orang yang bukan dari negara kita, sama ada dari Singapura atau Thailand. Jadi dia kena bayar harga penuh bila beli minyak dan cara yang baik ialah jika tak jual kepada mereka," katanya.

Semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata, kerajaan dijangka mengumumkan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap rakyat dan ekonomi negara selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.