BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, May 29, 2008

Pengusaha bas minta naik tambang

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) memohon untuk menaikkan kadar tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti di seluruh negara sebanyak 100 peratus bagi menampung peningkatan kos operasi serta alat ganti.

Presiden PMBOA, Datuk Ashfar Ali, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berikutan peningkatan mendadak harga diesel dan alat ganti.

"Kali terakhir kerajaan mengumumkan kenaikan tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti adalah pada 1 Mei 2005 sedangkan harga diesel sudah dinaikkan tiga kali, manakala kos alat ganti pula semakin bertambah," katanya pada sidang media, di sini, semalam.


Mengikut cadangan PMBOA, tambang bas ekspres berhawa dingin di Semenanjung perlu dinaikkan kepada 15 sen untuk jarak satu kilometer (km) berbanding 6.5 sen setiap km kadar sekarang. Bagi perkhidmatan bas ekspres tanpa penghawa dingin pula, PMBOA memohon kenaikan tambang sebanyak 10 sen setiap kilometer berbanding 5.5 sen yang dikenakan ketika ini.


"Bagi bas berhenti-henti berhawa dingin, kami meminta kenaikan tambang kepada RM1.50 untuk setiap km dan 20 sen bagi setiap km berikutnya berbanding kadar sekarang iaitu masing-masing 72 sen dan 7.2 sen.

"Bagi bas berhenti-henti tanpa pendingin hawa, kami memohon tambangnya dinaikkan kepada RM1 untuk setiap dua km pertama dan 15 sen bagi setiap km berikutnya berbanding kadar sekarang iaitu masing-masing 48 sen dan tujuh sen.

"Bagi laluan berbukit pula, kami memohon supaya dibenarkan caj tambahan sebanyak 20 peratus lagi daripada kenaikan itu," katanya.

Ashfar berkata, bagi pengusaha di Sarawak, PMBOA mahu kadar tambang bagi bas ekspres berhawa dingin dinaikkan kepada 22 sen bagi km pertama berbanding 11 sen ketika ini di Sabah, ia dinaikkan daripada 10 sen kepada 20 sen untuk jarak yang sama.

"Bagi bas ekspres tanpa penghawa dingin di Sabah, kadar kenaikan tambang yang dicadangkan adalah 15 sen bagi kilometer pertama berbanding 8.5 sen ketika ini. Bagaimanapun tiada jumlah ditetapkan untuk Sarawak," katanya.

Bagi bas berhenti-henti tanpa penghawa dingin di Sarawak, pihaknya mencadangkan tambang lima km pertama dinaikkan kepada RM1.20 dan 15 sen bagi setiap km berikutnya manakala bagi yang berhawa dingin, masing-masing diminta dinaikkan kepada RM1.50 dan 20 sen untuk jarak sama.

Di Sabah pula, PMBOA memohon tambang bas berhenti-henti berhawa dingin dinaikkan kepada RM1.50 bagi dua km dan 20 sen bagi setiap km berikutnya manakala yang tidak berhawa dingin, kadar dicadangkan adalah masing-masing RM1 dan 15 sen untuk jarak laluan sama.

Selain itu, PMBOA memohon supaya kerajaan menaikkan 30 peratus kadar tambang bas mini daripada masing-masing 80 sen kepada RM1.10 untuk yang berhawa dingin dan daripada 70 sen kepada RM1 bagi yang tidak berhawa dingin.

PMBOA turut meminta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengehadkan pemberian permit bas bagi mengelak ia menjejaskan lagi pendapatan pengusaha bas sedia ada.

Ashfar berkata, pengusaha mendapati kenaikan tambang yang diumumkan pada 2005 bukan saja gagal membantu mereka meningkatkan keuntungan, malah tidak cukup untuk menampung kos operasi masing-masing.

"Akibatnya, banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar dan satu daripada langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah itu ialah jika kerajaan membenarkan kami menaikkan kadar tambang perkhidmatan.

"Kami bukannya mahu menyusahkan pengguna atau mengambil kesempatan daripada kenaikan harga minyak tetapi jika keadaan terus begini, kita bimbang tidak mampu memberikan perkhidmatan dan akhirnya ia akan membebankan orang ramai," katanya.

0 comments: