BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, May 30, 2008


Diet Aizat makin menjadi

Oleh Zaidi Mohamad


WAJAH Aizat sekarang.

Mampu kurangkan berat badan dalam tempoh empat bulan, sentuh nasi seminggu sekali

PERJUANGAN seni jejaka comel bernama Muhammad Aizat Amdan, 19, atau Aizat tidak pernah terhenti, apatah lagi persekitaran keluarganya cukup dekat di hati dalam bidang muzik. Tersingkir pada konsert mingguan minggu ketujuh menerusi Akademi Fantasia musim kelima, tidak pernah mematahkan legasi seninya yang baru saja bermula.

Berkemungkinan besar, penghujung Mei ini, Aizat bakal menerjah persada seni dengan album sulungnya di bawah pembikinan syarikat milik keluarganya sendiri iaitu Kasi Gegar Entertainment dengan kerjasama Universal Music dan Maestro Records.


Selepas lagu Sahabat, lagu Hanya Kau Yang Mampu dipertaruhkan sebagai single kedua sehingga meledakkan nama jejaka yang pernah dikenali dengan tagline Kasi Gegar itu.


Hip berkesempatan ke kediamannya di Ampang pada hujung minggu lalu untuk meninjau aktiviti masa senggang jejaka comel ini. Memerhati susuk tubuh barunya, pasti akan membuatkan peminat di luar sana seakan terpana dengan imej barunya yang kelihatan kurus sehingga menampakkan potongan dagunya yang runcing.

Jelas Aizat, berat badannya sudah turun daripada 112 kilogram (kg) ke 88 kg. Berkat usahanya yang konsisten, alhamdulillah hasilnya cukup mengujakan. Tambahnya lagi, Jumaat umpama hari ‘pembalasan’ untuk dirinya membedal apa saja makanan yang diingini.

“Sudah empat bulan berlalu, saya nekad menguruskan badan dengan tiga langkah. Pertama, kurangkan makan. Kedua, bersenam dan cara ketiga ialah menggabungkan langkah pertama dan kedua secara konsisten. Saya akan ke gimnasium dua kali dalam seminggu ataupun berenang di rumah mengikut kesesuaian waktu. Saya juga akan berjoging selama 35 minit di mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai.

“Saya hanya menyentuh nasi seminggu sekali. Hari Jumaat saya jadikan sebagai hari untuk saya menghayati nikmat erti sebuah makanan. Selalunya, hari itu saya akan ke rumah nenek, Norly Abdul Karim. Hari itu saya akan belasah dan bedal saja makanan yang saya rasa mahu.

“Selain itu, saya juga mengutamakan makanan berorganik, berserat dan berorientasikan sayur-sayuran seperti salad. Makanan berorganik ini berkhasiat tinggi kerana ia tidak diproses dan tidak mempunyai campuran kandungan bahan kimia,” katanya dengan penuh teruja.

Sewaktu fotografi berlangsung hanya ibunya (Fina Norhizah Baharuzaman), bapa tiri (Syed Abdul Rahim Syed Jaafar), adik (Muhammad Alif Amdan), kakak (Nur Ili Zuhair Amdan), nenek (Norly) dan nenek saudaranya (Aminah Firdaus) yang berada di rumah. Dua abangnya iaitu Muhammad Amar Amdan dan Muhammad Anas Amdan masing-masing bekerja dan belajar di Australia. Abang sulungnya, Muhammad Amir Amdan juga terikat dengan jadual kerja.

Kata Aizat, muzik dan keluarganya bagaikan irama dan lagu, yang tidak dapat dipisahkan. Keluarganya berkebolehan bermain instrumen muzik seperti gitar dan dram dan ada di antaranya yang boleh menyanyi seperti Aizat.

“Yang menjadi pencetus segala-galanya semestinya umi dan ayah kandung saya, Amdan Mat Din. Ayah pun pernah ada kugirannya sendiri sebelum ini. Umi saya yang memperturunkan khazanah bakat dan ilmunya bermain gitar kepada abang sulung saya. Seterusnya ia berentetan dan menjadi tradisi turun-temurun keluarga kami.

“Muzik bukan alasan untuk kami adik-beradik leka melupakan tanggungjawab. Ia diseimbangkan dengan penuh tertib, sehingga ia menjadi penanda aras buat diri saya sendiri yang menjadikannya sebagai laluan pacuan kerjaya seni,” ungkap Aizat yang masih berhubung baik dengan bapa kandungnya yang tinggal bersama abangnya Amir di kediaman berasingan.

0 comments: